TONGOD: Seorang wanita berusia 62 tahun mengalami kecederaan melecur di bahagian lengan selepas terlibat dalam satu kebakaran besar yang memusnahkan dua buah rumah, sebuah kedai runcit serta beberapa kenderaan di Kampung Bolot, Tongod, tengah hari tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 1.12 tengah hari itu, mangsa yang merupakan penduduk kampung berkenaan diberikan rawatan awal oleh pegawai perubatan di lokasi sebelum diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk tindakan lanjut.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan, PPgB Hairi bin Otuh berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui talian balai sebelum menggerakkan sepasukan lima anggota ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 156 kilometer dari balai.
“Jentera bomba tiba di lokasi pada jam 2.20 petang dan mendapati kebakaran telah merebak melibatkan dua buah rumah jenis tidak kekal, sebuah kedai runcit, sebuah kereta Perodua Kancil, sebuah motosikal serta dua unit enjin bot,” katanya.
Menurut beliau, dua rumah dan kedai runcit musnah terbakar 100 peratus. Turut musnah sepenuhnya ialah sebuah kereta Perodua Kancil, sebuah motosikal dan dua unit enjin bot.
Operasi pemadaman dijalankan bersama Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Saguon Kuayup dengan menggunakan satu aliran sepanjang 600 kaki dan satu pancutan air dari pili bomba berhampiran.
“Kebakaran berjaya dikawal pada jam 2.31 petang dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 4.31 petang setelah pasukan memastikan tiada lagi bahaya di lokasi,” katanya.
Operasi diketuai oleh Komander Operasi, PBK I Jasmani bin Osni dengan kekuatan keseluruhan tujuh anggota termasuk PBS.
Turut berada di lokasi ialah agensi lain terdiri daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), KKM, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan RELA.
Punca kebakaran serta jumlah kerugian masih dalam siasatan pihak berkuasa.
