KOTA KINABALU: Kim Teck Cheong Consolidated Berhad mengumumkan pelantikan Datuk Dr. Yatimah Sarjiman sebagai Pengarah syarikat berkuat kuasa 20 Februari 2026.
Pengarah Eksekutif, Datuk Dexter Lau, berkata Lembaga Pengarah mengalu-alukan pelantikan itu dan yakin pengalaman luas Datuk Dr. Yatimah mampu membawa nilai signifikan kepada kumpulan.
Menurutnya, Datuk Dr. Yatimah memiliki lebih tiga dekad pengalaman cemerlang dalam perkhidmatan awam serta kepimpinan strategik merangkumi perancangan nasional, pembangunan ekonomi dan tadbir urus.
“Beliau membawa pengalaman mendalam serta wawasan dasar yang diyakini akan terus memperkukuh Lembaga Pengarah ketika syarikat memacu pertumbuhan mampan dan penciptaan nilai jangka panjang,” katanya.
Datuk Dr. Yatimah mempunyai lebih 30 tahun pengalaman dalam perancangan dasar awam, pengurusan sumber manusia dan kewangan, pembangunan ekonomi wilayah dan pentadbiran, pentadbiran sosial serta hubungan antarabangsa dan hal ehwal luar.
Kepakaran profesional beliau turut merangkumi pembangunan luar bandar, struktur industri antarabangsa, industri perladangan serta pemerkasaan wanita.
Sepanjang 34 tahun kerjaya dalam perkhidmatan awam, beliau pernah memegang beberapa jawatan strategik termasuk Timbalan Ketua Setiausaha di Jabatan Perdana Menteri dan Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Wanita.
Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Pengarah Bahagian Pertanian serta Timbalan Pengarah Bahagian Infrastruktur dan Utiliti di Unit Perancang Ekonomi (EPU), Jabatan Perdana Menteri.
Terbaharu, sebagai Timbalan Ketua Setiausaha (Sektoral) di Kementerian Ekonomi Malaysia, beliau memainkan peranan penting dalam penggubalan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 yang dibentangkan di Parlimen.
Beliau turut menyumbang kepada pelaksanaan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) yang dilancarkan pada Julai 2023 serta Dasar Tenaga Negara 2022 bagi menyokong aspirasi Malaysia menjadi negara rendah karbon menjelang 2040.
Selain peranan baharu itu, Datuk Dr. Yatimah kini menganggotai lembaga pengarah beberapa organisasi termasuk PETRONAS Gas Berhad, Malaysian Industry-Government Group for High Technology (MIGHT), Felda Investment Corporation Sdn Bhd, PR1MA Communications Sdn Bhd dan UEM Group Berhad.
Datuk Dr. Yatimah memiliki Ijazah Sarjana Muda Perniagaan dalam Sistem Maklumat Perakaunan dari Idaho State University, Sarjana Pentadbiran Perniagaan dalam Perakaunan dan Kewangan dari Northrop University serta Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dari Universiti Utara Malaysia.
Lembaga Pengarah Kim Teck Cheong menantikan sumbangan beliau ketika syarikat terus memperkukuh rangka kerja tadbir urus dan memacu objektif strategiknya.
