KENINGAU: Perkembangan politik di Sabah ketika ini menyaksikan pelbagai perbincangan mengenai kemungkinan perubahan dalam struktur organisasi Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS), termasuk cadangan menstruktur semula sistem bahagian parti daripada berasaskan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) kepada kawasan Parlimen.
Cadangan yang diperkatakan bakal dilaksanakan sekitar pertengahan tahun ini dilihat berpotensi memperkukuhkan gerak kerja parti di peringkat akar umbi, selain memudahkan penyelarasan kepimpinan serta strategi politik di setiap kawasan Parlimen.
Sekiranya perubahan struktur itu direalisasikan, ia sekali gus membuka ruang kepada pembentukan kepimpinan baharu di peringkat Parlimen, termasuk bagi kawasan Parlimen P180 Keningau.
Dalam konteks itu, nama Dato’ Dr Victor Peter Paut dilihat antara tokoh tempatan yang wajar dipertimbangkan untuk menerajui kepimpinan PGRS di kawasan berkenaan.
Beliau bukan sahaja dikenali sebagai individu yang aktif dalam aktiviti kemasyarakatan, malah mempunyai rekod penglibatan yang konsisten dalam pelbagai program kebajikan dan pembangunan masyarakat di kawasan pedalaman.
Walaupun pernah berdepan cabaran dalam arena politik, Dato’ Victor terus mengekalkan pendekatan turun padang serta mendekati rakyat, sekali gus menjadikan beliau antara pemimpin tempatan yang dekat dengan masyarakat setempat.
Selain itu, pengalaman luas beliau dalam bidang pentadbiran dan korporat turut menjadi antara kekuatan yang boleh dimanfaatkan dalam memperkukuh pengurusan organisasi parti.
Ketika ini, beliau memegang jawatan sebagai Timbalan Pengerusi Sawit Kinabalu serta Borneo Samudera Sdn Bhd, yang memberinya pengalaman kepimpinan dan pengurusan dalam mengendalikan organisasi berskala besar.
Di kawasan pedalaman Sabah, faktor kepimpinan yang aktif, berpengalaman serta konsisten mendekati rakyat dilihat memainkan peranan penting dalam membina keyakinan masyarakat terhadap sesebuah parti politik.
Sehubungan itu, sekiranya PGRS melaksanakan perubahan struktur kepada sistem berasaskan Parlimen, pemilihan pemimpin yang mempunyai rekod perkhidmatan kukuh serta hubungan baik dengan rakyat menjadi antara faktor penting dalam memperkukuhkan pengaruh parti di peringkat tempatan.
Dalam hal ini, Dato’ Dr Victor P. Paut dilihat memiliki kelebihan tersendiri untuk membantu mengukuhkan kedudukan PGRS di Parlimen P180 Keningau, khususnya melalui pendekatan kepimpinan yang menekankan khidmat kepada masyarakat dan pembangunan setempat.
