LAHAD DATU: Acara Danum Valley Mountain Bike Race bakal dianjurkan setiap tahun sebagai platform untuk menarik penyertaan peminat sukan basikal dari dalam dan luar negara, di samping mempromosi keindahan alam serta meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan pemuliharaan alam sekitar.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin berkata, keindahan hutan semula jadi Lembah Danum merupakan aset yang tidak ternilai bagi negeri dan negara, selain berpotensi menjadi tarikan utama dalam memperkukuh sektor pelancongan Sabah.
Beliau berkata, penganjuran acara tersebut dijangka menjadi program tahunan dan mampu menarik lebih ramai peserta, khususnya dari luar negara, pada masa akan datang.
“Program ini merupakan anjuran pertama dan kita mengharapkan pada masa akan datang lebih ramai peserta, terutama dari luar negara, datang untuk menikmati destinasi pelancongan berasaskan alam semula jadi di Danum Valley,” katanya.
Lebih 90 peserta menyertai perlumbaan sejauh 88 kilometer dalam program julung kali dianjurkan oleh Borneo Rainforest Lodge dengan kerjasama Kementerian Pelancongan Malaysia dan Lembaga Pelancongan Sabah, termasuk penyertaan dari Thailand serta beberapa negara di sekitar Asia.
Sementara itu, Pengarah Program, Auther J Kimon berkata, kebanyakan peserta dari luar Sabah mencadangkan supaya promosi dan pendaftaran dibuka lebih awal bagi menarik jumlah penyertaan yang lebih besar.
Ketua Pegawai Eksekutif Borneo Rainforest Lodge, Freddie Coleman pula berkata penganjuran acara seperti ini dapat mendidik serta mendedahkan kehidupan di kawasan konservasi hutan antara terbesar dan tertua dia dunia.
Menurutnya, pihak penganjur telah bekerjasama dengan beberapa penganjur acara di Semenanjung, dan menjangkakan jumlah peserta boleh meningkat sehingga 400 hingga 500 orang pada edisi akan datang sekiranya promosi dilakukan lebih awal.
Seorang peserta dari Thailand, Muzcali, menyifatkan perlumbaan tersebut sebagai pengalaman baharu yang menyeronokkan kerana diadakan dalam kawasan pemuliharaan.
“Saya rasa ini satu pengalaman yang agak baharu kerana ini merupakan kawasan pemuliharaan, jadi ia sangat menyeronokkan bagi saya dan laluannya juga sangat menakjubkan,” katanya.
Peserta tempatan, Tim James pula teruja kerana dapat mempromosikan acara ini di tempatkan kerjanya di Bangkok Thailand serta mengajak rakan-rakan peminat sukan basikal untuk hadir ke acara ini.
“Saya sudah tinggal di Bangkok dan kerja di sana lebih empat tahun, kini saya bersama rakan ke sini kampung halaman saya,” katanya.
Acara tersebut dilihat berpotensi menjadi produk pelancongan sukan berasaskan alam semula jadi yang mampu menarik kehadiran pelancong domestik dan antarabangsa ke Sabah pada masa hadapan.
