PUTATAN: Komuniti setempat diminta meningkatkan kesedaran terhadap aspek keselamatan kebakaran dalam usaha menangani insiden kecelakaan yang mampu memusnahkan harta benda dan hilang nyawa.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Keramat; Shah Alfie Yahya (SAY) berkata, penduduk di Putatan dan DUN berkenaan secara amnya perlu cakna terhadap hebahan daripada pihak berkaitan untuk mengambil langkah pencegahan yang sewajarnya.
“Saya menyeru kepada para penduduk di Putatan supaya meningkatkan kesedaran mereka terhadap risiko-risiko kebakaran ini.
“Masyarakat juga dinasihatkan untuk tidak mengambil mudah aspek keselamatan terutama di kediaman masing-masing kerana sikap sambil lewa mengenai elemen keselamatan akan meningkatkan risiko berkenaan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas program derma darah anjuran Persatuan Bulan Sabit Putatan dengan kerjasama Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Putatan, di sini, hari ini.
SAY diwakilkan oleh Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Tanjung Keramat; Latip Jiar.
Hadir sama adalah Ketua BBP Putatan; Musran Jabri, Timbalan Pengerusi PBSM Putatan; Harun Hamidun dan Pegawai Kemajuan Masyarakat Tg Keramat; Syed Arizal Karim.
Mengulas lanjut mengenai program itu, Shah Alfie mendedahkan ia merupakan medium terbaik merapatkan komuniti setempat dan dalam masa sama menyumbang kepada tabung darah hospital bagi membantu mereka yang memerlukan.
“Insya-Allah, program ini akan diteruskan dari semasa ke semasa.
“Program ini bukan sahaja mendekatkan pihak berkuasa atau agensi kerajaan bersama masyarakat awam, bahkan ia dapat menyumbang kembali kepada mereka yang memerlukan khususnya stok-stok bekalan darah yang sentiasa diperlukan di fasiliti hospital, “katanya.
