PUTATAN: Pertandingan Cahaya Aidilfitri Tanjung Keramat menutup tirai dengan dua pemenang kategori bertuah membawa pulang wang tunai RM1,500 berserta hamper.
Mempertandingkan dua kategori iaitu lampu pelita ‘susul’ dan lampu berhias, pertandingan berkenaan disertai seramai 45 orang peserta melibatkan tujuh lokaliti kampung sekitar Tanjung Keramat.
Ahli Parlimen Putatan, Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata, pihaknya berpuas hati dengan penganjuran program tersebut yang dilihat mencapai objektif meskipun kali pertama diadakan.
“Kita menerima idea untuk mengadakan program ini dari pihak pengurusan Pejabat DUN, UPPM Tanjung Keramat dan seterusnya dengan mendapat kerjasama daripada Pejabat Parlimen Putatan.
“Pada mulanya, kami hanya menyasarkan sekitar 30 penyertaan sahaja namun ia mendapat sambutan hingga 45 penyertaan.
“Insyallah program ini akan diteruskan di masa akan datang dan ianya akan diperbaiki dari semasa ke semasa, “katanya.
Beliau berkata demikian selepas majlis penyerahan hadiah utama di Kampung Pituru,Taman Pantai Lok Kawi, di sini, pada Rabu.
Untuk rekod, pemenang bagi kategori pertandingan susul dimenangi oleh
Mazlan Mayut dari Kg Pituru, diikuti naib johan Mohd Khairi Abd Latip dari Kg Pasir Putih manakala tempat ketiga dimenangi oleh Muhammad Annas Mahadzir dari Kg Lembising.
Pemenang kategori ini membawa pulang wang tunai RM1,500 berserta hamper, tempat kedua bernilai RM1,000 berserta hamper dan tempat ketiga RM800 berserta hamper.
Manakala bagi kategori colorlight, Baijuri Deris dari Kg Muhibbah menang tempat pertama diikuti Shahrizal Azman dari Kg Contoh selaku Naib Johan dan Rina M Abdullah (Kg Contoh) mendapat tempat ketiga.
Pemenang kategori berkenaan turut membawa pulang wang tunai RM1,500 berserta hamper, tempat kedua bernilai RM1,000 berserta hamper dan tempat ketiga RM800 berserta hamper.
Pertandingan Cahaya Aidilfitri Tg Keramat melibatkan tujuh buah kampung iaitu Kg Lembising, Kg Muhibbah, Kg Contoh, Kg Meruntum, Kg Pituru, Kg Pasir Putih dan Kg Sri Pandan bermula 10 Mac dan berakhir pada 18 Mac lalu.
