SANDAKAN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Sandakan menahan sebuah bot tunda kerana disyaki melanggar syarat lesen ketika beroperasi di perairan Sandakan, semalam.
Bot berkenaan ditahan kira-kira 0.4 batu nautika barat Pulau Nunuyan Laut sekitar jam 12.01 tengah malam ketika rondaan dijalankan menerusi Op SEJAHTERA, Op PLUTO TIMUR, Op CEGAH PATI dan Op TIRIS.
Pengarah Zon Maritim Sandakan, Kepten Maritim Muhamad Suhairy Hussain berkata, pemeriksaan mendapati bot tersebut dikendalikan oleh lima kru, terdiri daripada empat warga tempatan termasuk seorang nahkoda serta seorang kru warga Indonesia, berusia antara 22 hingga 40 tahun.
Menurutnya, ketika ditahan bot tunda itu sedang menunda sebuah barge yang membawa muatan tiga tangki air bersaiz 25,000 liter dan 89 tong berisi air bersaiz sembilan liter.
“Hasil siasatan awal mendapati nahkoda yang mengemudi bot berkenaan tidak sama seperti yang dinyatakan dalam lesen sah kapal, sekali gus melanggar syarat lesen di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kesalahan tersebut boleh dikenakan hukuman denda atau penjara atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Keseluruhan nilai rampasan termasuk bot, barge dan muatan dianggarkan bernilai RM100,000.
Kesemua kru bersama bot yang ditahan telah dibawa ke Jeti Zon Maritim Sandakan untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat bagi tindakan lanjut.
Dalam pada itu, Maritim Malaysia menyeru orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan, jenayah maritim atau kecemasan di laut agar menyalurkannya melalui talian kecemasan MERS 999 atau menghubungi Pusat Operasi Zon Maritim Sandakan di talian 089-229504 yang beroperasi 24 jam.
