KUDAT: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kudat menahan sebuah bot tempatan yang dikesan memasuki perairan negara kira-kira 7 batu nautika barat Tanjung Simpang Mengayau, hari ini.
Pengarah Zon Maritim Kudat, Komander Maritim Hasbullah Omar, berkata bot berkenaan dikesan hasil maklumat daripada Sistem Pengawasan Laut (SWASLA) Sabah sebelum dipintas oleh bot ronda yang sedang melaksanakan Op Sejahtera dan Op Khas Pagar Laut.
Menurut beliau, hasil pemeriksaan mendapati bot tersebut berdaftar di Malaysia, namun lesen operasinya telah tamat tempoh, sekali gus melakukan kesalahan di bawah Enakmen Pelabuhan dan Dermaga Sabah.
“Pemeriksaan lanjut turut mendapati seramai empat kru termasuk tekong berumur antara 27 hingga 50 tahun berada di atas bot tersebut gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.
“Kesemua mereka disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kesemua individu bersama bot telah ditahan dan diiring ke jeti untuk siasatan lanjut oleh pihak berkuasa berkaitan.
Dalam pada itu, Hasbullah menegaskan pihaknya akan terus mempergiat rondaan serta penguatkuasaan bagi memastikan keselamatan dan kedaulatan perairan negara sentiasa terpelihara.
Orang ramai khususnya komuniti maritim turut diseru agar menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan di laut melalui talian kecemasan 999 atau menghubungi Pusat Operasi Zon Maritim Kudat di talian 088-611858 bagi tindakan segera.
