LAHAD DATU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Lahad Datu menahan sebuah vesel pukat jerut bilis yang didapati beroperasi menggunakan lesen tamat tempoh di perairan Kunak, semalam.
Pengarah Zon Maritim Lahad Datu, Komander Maritim Dzulfikhar Ali berkata, penahanan dilakukan kira kira jam 4.45 petang pada kedudukan 2.6 batu nautika timur laut Pangkalan Kunak.
Menurut beliau, vesel berkenaan dikesan oleh bot ronda Maritim Malaysia yang sedang melaksanakan Op PLUTO TIMUR 2 2023 dan Op TIRIS 3.0.
“Pemeriksaan awal mendapati vesel tersebut dikendalikan seorang tekong warga Filipina berusia 37 tahun bersama dua kru lelaki berumur 27 dan 34 tahun. Semua kru mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Bagaimanapun, hasil pemeriksaan lanjut mendapati lesen vesel berkenaan telah tamat tempoh.
“Kegagalan memperbaharui lesen bukan sahaja melanggar undang undang, malah boleh menjejaskan kawalan serta pengurusan sumber perikanan negara,” tegas beliau.
Dzulfikhar menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi terhadap mana mana pihak yang gagal mematuhi peraturan dan akan terus mempergiat rondaan serta penguatkuasaan bagi memastikan perairan negara sentiasa terpelihara.
Vesel, kru dan hasil tangkapan dibawa ke Jeti Zon Maritim Lahad Datu untuk siasatan dan tindakan lanjut.
Dalam pada itu, Maritim Malaysia menggesa komuniti maritim agar sentiasa mematuhi undang undang laut serta menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti mencurigakan melalui WhatsApp 016 930 5727 atau talian kecemasan 999 untuk tindakan segera.
