KUDAT: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kudat merampas sebuah bot pam yang disyaki membawa kira-kira 2,000 liter petrol tanpa kelulusan sah di perairan Damaran, Pulau Banggi, awal pagi semalam.
Pengarah Zon Maritim Kudat, Komander Maritim Hasbullah Omar berkata, rampasan berkenaan dilakukan hasil maklumat risikan sebelum sebuah bot peronda digerakkan ke lokasi bagi tujuan pemeriksaan.
Menurutnya, sebaik pasukan penguat kuasa tiba di kawasan berkenaan, bot pam tersebut ditemui dalam keadaan ditinggalkan tanpa pengendali, dipercayai melarikan diri bagi mengelak daripada ditahan pihak berkuasa.
“Hasil pemeriksaan mendapati bot itu membawa beberapa tong drum berwarna biru berisi petrol tanpa sebarang dokumen kebenaran. Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan sekitar RM5,000,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, bot bersama muatan bahan api berkenaan kemudiannya dibawa ke jeti Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.
Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana disyaki membawa serta menyimpan barang kawalan tanpa kebenaran pihak berkuasa.
Dalam pada itu, Hasbullah menegaskan Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap sebarang aktiviti penyeludupan dan akan terus memperketat kawalan serta pemantauan di perairan negara, khususnya di kawasan berisiko tinggi.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan sebarang aktiviti menyalahi undang-undang di laut diminta menghubungi Pusat Operasi Zon Maritim Kudat di talian 088-611858 atau talian kecemasan 999 bagi tindakan segera.
