SANDAKAN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Sandakan telah berjaya menahan sebuah bot yang disyaki membawa muatan minyak sawit mentah tanpa kebenaran yang sah dalam satu operasi penguatkuasaan di perairan Sandakan, semalam.
Pengarah Zon Maritim Sandakan, Kepten Maritim Muhamad Suhairy bin Hussain berkata, bot berkenaan ditahan oleh kapal peronda Maritim Malaysia yang melaksanakan Op SEJAHTERA, Op PLUTO TIMUR, Op CEGAH PATI dan Op TIRIS pada kedudukan kira-kira 0.8 batu nautika tenggara dari Kampung Gas, Sandakan selepas dikesan sedang bergerak dalam keadaan mencurigakan.
Beliau turut berkata, bot berkenaan dikendalikan oleh seorang lelaki warganegara tempatan berusia 38 tahun bersama seorang lelaki warganegara asing berusia 42 tahun gagal mengemukakan sebarang dokumen berkaitan pemilikan serta pengangkutan minyak sawit mentah semasa pemeriksaan dijalankan.
“Hasil pemeriksaan mendapati bot tersebut membawa kira-kira tujuh tan muatan minyak sawit mentah yang disyaki tanpa permit atau kebenaran sah daripada Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB),” katanya.
Kes disiasat di bawah Akta Lembaga Minyak Sawit Malaysia 1998 (Akta 582) kerana gagal Mempamerkan Ikrar Pergerakan Domestik (MPOB).
Kes juga turut disiasat di bawah Enakmen Pelabuhan dan Dermaga Sabah 2002, Peraturan-Peraturan Pelabuhan dan Dermaga (Kapal Kecil Berlesen Sabah) 2008 atas kesalahan gagal mempamerkan lesen, tidak mempamerkan Nombor Pendaftaran dan membawa muatan minyak sawit mentah tanpa kebenaran.
Kesemua yang ditahan bersama bot dan muatan dianggarkan bernilai RM75 ribu telah diiring masuk ke Jeti Zon Maritim Sandakan untuk siasatan lanjut oleh pegawai penyiasat Maritim Malaysia dengan kerjasama pihak MPOB.
Maritim Malaysia menegaskan akan terus memperketatkan rondaan dan penguatkuasaan bagi membanteras sebarang pelanggaran undang-undang di perairan negara dan meminta orang awam menyalurkan maklumat terus ke Pusat Operasi Maritim Sandakan di talian 089-229504 atau talian kecemasan 999 untuk tindakan segera.
