KOTA KINABALU: Cadangan pembentukan Borneo Bloc bukan bertujuan mengukuhkan kuasa politik Sabah dan Sarawak di peringkat Persekutuan, sebaliknya bagi memperkukuh keseimbangan dalam kerangka Malaysia yang dibina atas semangat perkongsian wilayah.
Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Haji Nizam DSP Haji Abu Bakar Titingan berkata, kenyataan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Zaid Ibrahim, yang mendakwa Borneo Bloc sebagai usaha memperkukuh kawalan politik di peringkat Persekutuan wajar dilihat dalam konteks sejarah pembentukan Malaysia.
Beliau menegaskan, cadangan itu tidak harus ditafsirkan sebagai usaha mendominasi Semenanjung, sebaliknya satu pendekatan politik yang sah dan matang untuk menyelaraskan suara Sabah dan Sarawak dalam memperjuangkan kepentingan rakyat Borneo secara lebih tersusun di Parlimen.
“Dalam sistem Persekutuan yang sihat, kerjasama antara wilayah bagi memperkukuh kedudukan rundingan adalah sesuatu yang lazim dan tidak seharusnya dipandang negatif,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurut Nizam, asas pembentukan Malaysia pada 1963 berteraskan prinsip perkongsian antara wilayah. Walaupun Sabah dan Sarawak ketika itu berada di bawah pentadbiran British, penyertaan kedua-dua wilayah dibuat melalui rundingan jelas yang disertai jaminan perlindungan tertentu bagi menjaga identiti, autonomi pentadbiran dan kepentingan rakyat tempatan.
Katanya, jaminan berkenaan termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang menjadi asas pembentukan negara.
“Perkara seperti kuasa imigresen, isu hasil petroleum, tuntutan 40 peratus hasil bersih Persekutuan serta pelaksanaan MA63 bukan keistimewaan berlebihan, sebaliknya komitmen asal yang dipersetujui semasa pembentukan Malaysia,” katanya.
Beliau berkata, usaha berterusan untuk menuntut dan memperkukuh pelaksanaan perkara berkenaan adalah selaras dengan semangat Persekutuan yang adil dan seimbang.
Mengulas cadangan menambah kerusi Parlimen bagi Sabah dan Sarawak, Nizam berkata ia perlu dilihat dari sudut representasi lebih saksama mengambil kira keluasan wilayah, kepelbagaian geografi serta keperluan pembangunan yang berbeza.
“Pembentukan Borneo Bloc mencerminkan kematangan politik Sabah dan Sarawak dalam kerangka Persekutuan Malaysia. Ia bertujuan memperkukuh kerjasama supaya isu pembangunan, hak Perlembagaan dan kepentingan rakyat Borneo dapat diperjuangkan secara lebih teratur dan konstruktif.
“Malaysia dibina atas semangat kerjasama antara wilayah, bukan persaingan antara Semenanjung dan Borneo. Justeru, sebarang usaha memperkukuh keseimbangan dalam Persekutuan harus dilihat sebagai langkah memperkuatkan negara secara keseluruhan,” katanya.
