LAHAD DATU: Seorang lelaki warga emas berusia 72 tahun berjaya diselamatkan selepas terperangkap dalam kejadian banjir di Kampung Wawasan 2, di sini, petang tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu, Sumsoa Bin Rashid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 4.01 petang sebelum sepasukan anggota segera digerakkan ke lokasi kejadian.
“Seramai 10 anggota dari BBP Lahad Datu diketuai PBK I Mohammad Akbar Bin Mohambar tiba di lokasi pada jam 4.05 petang, kira-kira tiga kilometer dari balai,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, setibanya di lokasi, pasukan bomba mendapati seorang mangsa lelaki warga emas terperangkap di kawasan yang dinaiki air akibat banjir.
“Pasukan operasi bertindak pantas menjalankan kerja-kerja menyelamat dengan menggunakan tali penyelamat dan berjaya mengeluarkan mangsa dalam keadaan selamat,” katanya.
Sumsoa berkata, selepas memastikan mangsa berada dalam keadaan stabil dan selamat, mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak keluarga untuk tindakan selanjutnya.
Beliau memaklumkan, operasi menyelamat berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 5.30 petang dan ditamatkan pada jam 5.46 petang tanpa sebarang kejadian tidak diingini.
Dalam operasi tersebut, pihak bomba menggunakan sebuah jentera FRT dengan lima anggota, FRV (tiga anggota) serta sebuah DMAX (dua anggota).
“Orang awam dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada dan mengutamakan keselamatan diri, khususnya ketika hujan lebat dan keadaan banjir yang boleh berlaku secara tiba-tiba,” katanya.
