KOTA KINABALU: Gagasan pembentukan Blok Borneo perlu dilihat sebagai satu kekuatan politik yang sah dan relevan dalam memastikan suara Sabah dan Sarawak tidak terus dipinggirkan dalam arus pembangunan negara.
Pengerusi Persatuan Kebajikan Masyarakat Bingkor, Haji Yazid Haji Mohd Hasnan Tawik @ Charles, berkata sudah tiba masanya pemimpin dari kedua-dua wilayah di Borneo mengetepikan perbezaan politik dan bersatu di bawah semangat Blok Borneo demi mempertahankan hak serta kepentingan rakyat.
Beliau menegaskan bahawa Sabah dan Sarawak bukan sekadar negeri biasa dalam Persekutuan, sebaliknya rakan pengasas kepada pembentukan Malaysia seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Sehubungan itu, setiap dasar dan keputusan di peringkat Persekutuan perlu mengambil kira kedudukan serta hak-hak yang telah dipersetujui sejak awal pembentukan negara,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurut beliau, rakyat di Sabah dan Sarawak selama ini sering merasakan jurang pembangunan masih wujud selain terdapat beberapa perkara berkaitan hak negeri yang belum dilaksanakan sepenuhnya.
Justeru, katanya, kesatuan melalui gagasan Blok Borneo mampu memperkukuhkan suara kedua-dua wilayah itu agar lebih berpengaruh dalam memperjuangkan keadilan, pembangunan seimbang serta pengiktirafan terhadap hak-hak yang termaktub.
“Dengan jumlah kerusi Parlimen yang signifikan dari Sabah dan Sarawak, Blok Borneo berpotensi menjadi faktor penting dalam menentukan keseimbangan politik negara.
“Keadaan ini sekali gus membolehkan kepentingan rakyat di wilayah Borneo sentiasa diberi perhatian dalam setiap keputusan besar di peringkat nasional,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa gagasan berkenaan bukan sekadar agenda politik, sebaliknya menyentuh soal maruah, hak dan masa depan rakyat di Bumi Borneo yang perlu dipelihara serta dipertahankan secara bersama.
