TAWAU: Seorang lelaki berusia 28 tahun ditahan polis selepas dipercayai mengamuk dan memecahkan cermin kereta milik bapanya dalam kejadian di Kampung Durian, Merotai Besar, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin, berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira jam 9.17 pagi daripada kakak suspek.
Menurutnya, dalam kejadian sekitar jam 7 pagi, suspek dipercayai bertindak agresif tanpa sebab sebelum merosakkan kenderaan bapanya yang diletakkan di kawasan rumah.
“Mangsa memaklumkan suspek sering mengamuk dan merosakkan barangan dalam rumah sekiranya permintaannya tidak ditunaikan. Suspek juga kerap meminta wang serta meminjam motosikal,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Bertindak atas maklumat, sepasukan anggota dari Balai Polis Bombalai digerakkan ke lokasi sebelum menahan suspek kira-kira jam 11.20 pagi di hadapan rumahnya di Merotai Besar.
Jasmin berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dengan merosakkan harta benda dan siasatan lanjut masih dijalankan.
Beliau menegaskan pihak polis tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang bertindak ganas atau melakukan khianat walaupun membabitkan ahli keluarga sendiri.
“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak bertindak di luar kawalan apabila berdepan tekanan atau konflik, sebaliknya mendapatkan bantuan pihak berkuasa bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam terus terpelihara,” katanya.
