TAWAU: Benta Wawasan Sdn Bhd komited memperkukuh prestasi dan mengamalkan tadbir urus terbaik selaras dengan hasrat Ketua Menteri agar semua syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di Sabah terus meningkatkan pencapaian masing-masing.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Abd. Karim Abd. Wahid berkata, sebagai anak syarikat kepada Yayasan Sabah, Benta Wawasan sentiasa berpandukan prinsip ‘good governance’ dan memperbaiki prestasi dari semasa ke semasa.
Menurutnya, dalam sektor perladangan, faktor harga komoditi banyak dipengaruhi pasaran antarabangsa, justeru syarikat perlu menumpukan kepada peningkatan produktiviti bagi memastikan keuntungan terus berkembang.
“Kita sebagai syarikat GLC harus memperbaiki prestasi dari masa ke masa dan memastikan tadbir urus yang baik menjadi dasar utama.
“Harga pasaran ditentukan faktor luar, jadi apa yang boleh kita kawal adalah produktiviti dan kecekapan operasi supaya keuntungan dapat ditingkatkan setiap tahun,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Berbuka Puasa Benta Wawasan Sdn Bhd peringkat korporat, sempena Ramadan kedua, semalam.
Katanya, tahun lalu syarikat mencatat pungutan kasar melebihi RM100 juta, sekali gus membolehkan sumbangan dividen yang signifikan disalurkan kepada Yayasan Sabah.
“Keuntungan itu membantu organisasi induk melaksanakan tanggungjawab sosial, kebajikan dan pendidikan di negeri ini.
“Tahun ini kita berharap dengan keadaan ekonomi yang semakin baik dan harga komoditi yang meningkat, prestasi syarikat dapat dipertingkatkan lagi berbanding tahun sebelumnya,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, majlis berbuka puasa yang menjadi tradisi tahunan syarikat turut dimanfaatkan untuk menyampaikan sumbangan kepada golongan memerlukan.
Menurutnya, sebanyak tujuh pusat tahfiz sekitar Tawau menerima sumbangan selain bantuan kepada golongan asnaf, ibu tunggal dan anak yatim.
“Tahun ini juga istimewa kerana kita meraikan ulang tahun ke-30 penubuhan Benta Wawasan.
“Sepanjang tiga dekad ini, kita konsisten menyumbang dividen tinggi kepada Yayasan Sabah demi pembangunan negeri,” katanya.
Abd. Karim turut berkongsi kejayaan syarikat menerima pengiktirafan The BrandLaureate Awards 2025/2026 yang disifatkan sebagai satu penghormatan besar.
Katanya, anugerah berprestij antarabangsa itu menjadi pemangkin kepada syarikat untuk terus memperkukuh jenama dan prestasi pada masa hadapan.
“Kita sangat teruja dan berbesar hati menerima pengiktirafan ini. Ia membuktikan komitmen dan usaha berterusan syarikat dalam memastikan kecemerlangan operasi serta reputasi korporat sentiasa berada pada tahap terbaik,” katanya.
