TELUPID: Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan (MAFFI) Datuk Jamawi Jaafar meminta supaya langkah drastik dibuat dengan meningkatkan kuota bekalan beras kepada 35,000 tan metrik bulan ini bagi menstabilkan pasaran susulan isu pembelian panik di Sabah.
Jamawi berkata, kekurangan bekalan yang berlaku ketika ini sebahagiannya berpunca daripada kegagalan pemborong mengeluarkan stok yang telah dibeli.
Menurutnya, kira-kira 3,000 tan metrik beras yang sudah dibayar masih tersadai di stor Bernas kerana tidak diambil oleh pemborong.
“Saya minta mereka menyediakan keperluan logistik seperti lori untuk mengeluarkan beras yang telah ditempah. Saya tidak mahu perkara ini menjadi satu bentuk sabotaj oleh pemborong untuk menaikkan harga.
“Sebenarnya tiada kenaikan harga kerana subsidi masih kekal,” katanya.
Dalam masa sama, MAFFI turut melaksanakan audit terhadap pemborong yang disyaki menyorok atau menyeludup bekalan beras subsidi.
Jamawi berkata, tindakan itu diambil berikutan gangguan bekalan yang menjejaskan rakyat serta kegagalan beberapa pemborong hadir dalam sesi soal siasat.
Tegasnya, mana-mana pemilik lesen yang didapati bersalah bakal berdepan tindakan tegas.
“Ada pemborong yang kita syak terlibat, sebab itu audit dijalankan bagi mendapatkan bukti. Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan denda minimum RM50,000 serta hukuman penjara.
“Kita akan kuat kuasakan tanpa kompromi kerana ia menjejaskan kehidupan rakyat Sabah,” katanya.
Selain itu, Kerajaan turut mengehadkan pembelian kepada dua kampit beras bagi setiap individu sebagai langkah mengawal bekalan.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di ladang padi Trusan Sapi, di sini, kelmarin.
Jamawi menegaskan, Kerajaan komited memastikan stok simpanan beras negeri sentiasa mencukupi sekurang-kurangnya untuk tempoh enam bulan.
Pada masa sama, beliau mengingatkan peniaga agar tidak mengambil kesempatan terhadap subsidi Kerajaan, terutama ketika harga beras di negara jiran meningkat akibat krisis global.
Katanya, langkah penguatkuasaan akan terus diperkasa bagi menjamin kestabilan bekalan makanan di seluruh Sabah.
