KINABATANGAN: Seorang bayi lelaki dipercayai baru dilahirkan ditemukan ditinggalkan di sebuah ladang kelapa sawit di sini, petang Jumaat.
Ketua Polis Daerah Kinabatangan, Superintenden Ravi Duraisamy berkata, bayi tersebut ditemui oleh seorang pekerja sebelum laporan dibuat kepada pihak pengurusan ladang dan polis pada jam 7.27 malam.
Menurut beliau, bayi itu segera dibawa ke klinik ladang untuk rawatan awal sebelum dihantar ke Hospital Kinabatangan bagi pemeriksaan lanjut.
“Hasil pemeriksaan mendapati bayi berkenaan dianggarkan berusia antara tiga hingga lima hari dengan berat sekitar 2.4 kilogram serta berada dalam keadaan stabil tanpa sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Bayi itu kemudiannya dirujuk ke Hospital Duchess of Kent, Sandakan bagi pemantauan lanjut dan pengurusan kebajikan.
Sementara itu, polis masih menjalankan siasatan mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu bagi mengesan individu terlibat.
Maklumat boleh disalurkan ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kinabatangan atau terus kepada pegawai penyiasat yang dilantik.
