TAWAU: Seramai 245 mangsa banjir membabitkan 55 ketua isi rumah (KIR) dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Serbaguna Kompleks Sukan Tawau selepas beberapa kawasan di daerah ini dilanda banjir kilat, semalam.
Hujan lebat berterusan sejak jam 8 malam menyebabkan air naik mendadak dan menenggelami beberapa penempatan penduduk sebelum PPS diaktifkan pada jam 3 pagi.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah memaklumkan, antara kawasan terjejas ialah Kampung Batu Keramat, Kampung Baru Batu 2, Kampung Rawa-Rawa, Kampung Ranggu, Taman Fujimart, Taman Setia, Jalan Sin Onn dan Jalan Takada.
Turut dilaporkan berlaku hakisan tanah di simpang masuk Batu 9, Stone Quarry yang boleh mengundang bahaya kepada pengguna jalan raya.
Ketua Operasi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Tawau, Leftenan Muda (PA) Nurfarizt Izwan Sapsia berkata, seramai empat pegawai dan 24 anggota dikerahkan ke lokasi bagi membantu operasi menyelamat serta pemantauan paras air.
“Kami menjalankan operasi penyelamatan dan pemantauan berterusan bagi memastikan keselamatan penduduk terjamin.
“Paras air dipantau dari semasa ke semasa bagi mengelakkan sebarang risiko tidak diingini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Jemishin Ujin, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berkaitan banjir di Kampung Tanjung Batu Keramat pada jam 9.54 malam.
Menurutnya, lapan anggota bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT), sebuah EMRS dan sebuah bot digerakkan ke lokasi yang terletak kira-kira lapan kilometer dari balai.
“Pasukan bomba berjaya memindahkan 24 mangsa ke PPS Balai Raya Kampung Tanjung Batu Keramat dengan selamat.
“Mangsa terdiri daripada 16 dewasa dan lapan kanak-kanak. Paras air dilaporkan semakin surut dan hujan juga mulai reda,” katanya.
Beliau berkata, operasi ditamatkan pada jam 12.04 tengah malam selepas memastikan keadaan selamat dan tiada lagi risiko di lokasi terjejas.
