SANDAKAN: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) memperketat kawalan di sempadan Pantai Timur Sabah dalam usaha membanteras aktiviti penyeludupan diesel dan petrol bersubsidi yang dilihat semakin membimbangkan.
Langkah itu disifatkan penting ketika tekanan kos sara hidup meningkat serta ketidaktentuan harga minyak global, bagi memastikan subsidi bahan api terus dinikmati rakyat tempatan tanpa ketirisan.
Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Datuk Malek Razak Sulaiman berkata, semua anggota yang ditempatkan di kawasan sempadan telah diarahkan untuk melipatgandakan operasi dan penguatkuasaan.
Menurut beliau, usaha itu selaras dengan arahan kerajaan agar semua agensi penguat kuasa meningkatkan inisiatif dan fokus dalam menjaga keselamatan sempadan negara.
“Langkah-langkah ATM adalah selari dengan arahan kerajaan supaya semua agensi penguat kuasa melipatgandakan usaha dan memberi tumpuan kepada tugas utama menjaga sempadan, bagi mengelakkan ketirisan penyeludupan.
“Barang bersubsidi ini adalah hak rakyat tempatan dan tidak sepatutnya diseleweng keluar. Dalam keadaan kos sara hidup meningkat dan harga minyak yang tidak menentu, impaknya sangat besar kepada negara dan rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra Panglima Angkatan Tentera bersama warga ATM di Dewan Azim, RKTLDM Batu 5, di sini, semalam, selain turut meninjau beberapa pos keselamatan di sekitar Sandakan.
Dalam pada itu, operasi rondaan turut dipertingkatkan melibatkan kawasan darat dan laut, termasuk pemantauan lebih ketat di lokasi yang dikenal pasti sebagai titik panas aktiviti penyeludupan.
Pantai Timur Sabah yang bersempadan dengan perairan antarabangsa kekal menjadi antara laluan utama kegiatan tersebut, sekali gus menuntut kawalan berterusan dan lebih tegas daripada pihak berkuasa.
