KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata buku “Apa Yang Rakyat Sabah Harus Tahu” menawarkan pemahaman yang bernilai tentang sejarah politik Sabah, daripada perspektif salah seorang wartawan terkemuka Sabah, Allahyarham Datuk Mohd Fauzi Patel.
“Saya percaya penulisan buku sejarah adalah suatu usaha yang amatt bernilai kerana ia membolehkan kita melihat peristiwa daripada pelbagai perspektif dan menyediakan konteks yang diperlukan untuk mentafsir pemerhatian kita.
“Oleh itu, buku ini tepat pada masanya kerana menawarkan perspektif yang dituturkan oleh Allahyarham Datuk Mohd Fauzi Patel, seorang tokoh kewartawanan yang terkenal dalam sejarah Sabah,” katanya pada majlis pelancaran buku yang diadakan di Perpustakaan Negeri Sabah, di sini hari ini.
Ucapan beliau disampaikan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Joniston Bangkuai.
“Tajuk buku ini dengan sendirinya mengajak kita berfikir secara kritis. Ia menyarankan bahawa masih banyak aspek sejarah politik Sabah yang belum difahami sepenuhnya oleh orang ramai, dan ia menekankan keperluan untuk dokumentasi yang lebih menyeluruh serta wacana awam yang lebih meluas,” katanya.
Hajiji mengucapkan tahniah kepada Datuk James Sarda dan Datuk Dr Danny Wong atas usaha mereka menerbitkan buku tersebut.
“Saya yakin buku ini akan menjadi rujukan penting, sama ada sebagai bacaan tambahan atau sebagai perspektif alternatif mengenai sejarah politik Sabah,” katanya.
Beliau menambah bahawa Sabah memerlukan lebih banyak karya seperti ini, khususnya pada masa isu-isu besar seperti Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) kerap dibincangkan.
“Masih banyak peristiwa lampau yang perlu difahami dengan lebih jelas, kerana kesan peristiwa-peristiwa itu masih dirasai hingga ke hari ini, katanya.
Buku ini memuatkan pandangan, pemerhatian dan catatan Allahyarham Fauzi Patel mengenai pelbagai isu dan kontroversi yang melibatkan Sabah, sebelum dan selepas pembentukan Malaysia, yang sebahagiannya masih relevan dan terus dibincangkan hingga kini.
Fauzi Patel merupakan wartawan sepenuh masa pertama Sabah pada tahun 1954, ketika negeri ini masih dikenali sebagai Borneo Utara British.
Sepanjang tahun-tahun tersebut, beliau berkhidmat dengan beberapa organisasi media utama, termasuk Sabah Times, Sabah Times – North Borneo News, Kinabalu Times dan akhirnya, Kinabalu Sabah Times.
Beliau juga menulis ruangan Ahad untuk Daily Express, di mana beliau menganalisis isu-isu berkaitan Sabah serta perkembangan nasional yang memberi kesan kepada negeri ini
