KOTA KINABALU: Penganugerahan darjah kebesaran negeri sempena sambutan Hari Lahir Rasmi Ke-75 Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah disifatkan sebagai berlandaskan merit dan kelayakan, sekali gus tidak wajar dipertikaikan hanya kerana faktor usia atau latar belakang keluarga, kata aktivis politik pro-Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Aksyah Haji Nasrah.
Beliau berkata, perhatian terhadap tiga penerima Pingat Gemilang Darjah Kinabalu (PGDK) yang membawa gelaran “Datuk” iaitu Ghazali Hajiji, Hazeem Mubarak Musa dan Kurniawan Naim seharusnya dilihat dari sudut pencapaian dan sumbangan mereka, bukannya dijadikan polemik politik.
Menurutnya, kritikan segelintir pihak, khususnya penyokong pembangkang yang mempersoalkan kelayakan penerima atas alasan usia muda, tidak mengambil kira realiti bahawa ramai pemimpin hari ini turut menerima anugerah sama pada usia yang setara atau lebih awal.
“Mereka seolah-olah terlupa bahawa sebahagian pemimpin berusia emas hari ini pernah dianugerahkan darjah kebesaran pada usia muda, termasuk dalam kalangan kepimpinan tertinggi parti mereka sendiri,” katanya ketila mengulas isu tersebut, hari ini.
Mengulas dakwaan kononnya penganugerahan itu dipengaruhi unsur kronisme dan keturunan, Aksyah menegaskan ia tidak lebih daripada persepsi yang tidak berasas.
“Ini hanyalah kebetulan kerana mereka berada dalam bidang yang sama iaitu politik dan kepimpinan. Hakikatnya, penilaian dibuat berdasarkan pencapaian serta keupayaan mereka menyumbang kepada negeri dan rakyat,” katanya.
Beliau berkata, ketiga-tiga penerima berkenaan bukan sahaja memegang peranan penting di peringkat negeri, malah ada yang sudah menggalas tanggungjawab di peringkat nasional, sekali gus membuka ruang lebih luas untuk berbakti kepada masyarakat, khususnya generasi muda.
Sehubungan itu, katanya, ukuran sebenar bukan terletak pada gelaran semata-mata, tetapi pada sumbangan berterusan yang memberi impak kepada rakyat.
“Jika anugerah ini dipertikaikan kerana mereka anak kepada pemimpin atau terlibat dalam politik, mengapa perkara sama tidak dibangkitkan terhadap pemimpin terdahulu yang juga datang daripada latar belakang keluarga kepimpinan?” katanya.
Aksyah turut mengajak masyarakat agar meraikan kejayaan penerima sebagai satu bentuk penghargaan terhadap usaha dan jasa mereka, di samping menjadikannya inspirasi untuk terus berkhidmat kepada negeri.
“Bagi mereka yang belum menerima pengiktirafan, teruskan berusaha dengan ikhlas. Anugerah bukan matlamat utama, sebaliknya hasil daripada khidmat bakti yang berterusan kepada masyarakat,” katanya.
Beliau turut merakamkan ucapan Dirgahayu kepada Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah serta menzahirkan harapan agar Sabah terus maju di bawah semangat perpaduan dan pelaksanaan Halatuju Sabah Maju Jaya 2.0 yang dipimpin Ketua Menteri.
“Syabas kepada semua penerima anugerah. Teruskan berkhidmat dan menyumbang demi kemajuan Sabah yang tercinta,” katanya.
