KUANTAN: Seorang anggota tentera yang sebelum ini dilaporkan hilang ketika bertugas dalam Operasi PASIR di Semporna, Sabah, telah berjaya dikesan oleh pasukan keselamatan.
Markas Angkatan Bersama (MK AB) dalam satu kenyataan memaklumkan, anggota berkenaan ditemui hasil tindakan pengesanan yang dijalankan selepas beliau dilaporkan tidak hadir semasa pemeriksaan baris pagi di Pos Pulau Pandanan pada 14 Mac lalu.
Menurut kenyataan itu, siasatan awal mendapati anggota terbabit berada dalam keadaan Tidak Hadir Tanpa Cuti (THTC).
Anggota tersebut dikenali sebagai Renjer Frederenick anak Petrus, 21, dari Kompeni C, Batalion Ke-6 Rejimen Renjer Diraja (6 RRD).
“Hasil tindakan lanjut, anggota berkenaan telah ditangkap oleh pasukan Kor Polis Tentera Diraja (KPTD) di Kota Samarahan, Sarawak pada 19 Mac 2026,” menurut kenyataan tersebut.
Tambah kenyataan itu, anggota berkenaan telah dibawa ke hadapan Majistret Kota Samarahan dan kini berada dalam tahanan tentera di Kem Muara Tuang bagi tujuan siasatan lanjut.
Markas Angkatan Bersama turut menegaskan bahawa siasatan terperinci sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar ketidakhadiran anggota tersebut, dan tindakan sewajarnya akan diambil selaras dengan peraturan serta undang-undang di bawah Akta Angkatan Tentera 1972.
Dalam masa sama, pihak berkuasa menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan proses siasatan.
