SANDAKAN: Dalam usaha memperkukuh keselamatan anggota penguatkuasa Pihak Berkuasa Tempatan PBT, Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah akan melengkapkan mereka dengan kamera badan ketika bertugas.
Langkah itu turut melibatkan penyediaan kenderaan khas bagi meningkatkan kesiapsiagaan anggota dalam menghadapi tugasan mencabar di lapangan.
Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Fairuz Renddan berkata, inisiatif tersebut diambil susulan insiden seorang anggota penguatkuasa PBT dipukul oleh individu dipercayai terlibat dalam penjualan rokok tidak bercukai baru baru ini.
Menurut beliau, penggunaan kamera badan bukan sahaja bertujuan meningkatkan keselamatan anggota, malah membantu memantau pelaksanaan tugas serta situasi di lokasi operasi.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja dan tinjauan mesra di Pasar Umum Sandakan pada Jumaat.
Sebelum itu, Fairuz turut menerima taklimat mengenai penugasan anggota penguatkuasa PBT di Dewan Persidangan Majlis Perbandaran Sandakan.
Mengulas lanjut, beliau menegaskan kepentingan kerjasama antara agensi penguatkuasaan bagi memastikan keberkesanan tindakan di lapangan.
Katanya, operasi bersepadu akan terus diperkasakan dengan penglibatan agensi seperti Polis Diraja Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia serta Jabatan Imigresen Malaysia.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa pemasangan kamera litar tertutup CCTV akan diaktifkan di kawasan hotspot bagi memantau aktiviti mencurigakan.
Untuk rekod, kementerian kini mempunyai seramai 467 anggota penguatkuasa PBT di seluruh Sabah.
