KOTA KINABALU: Aktivis politik pro-Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Aksyah Haji Nasrah menyelar tindakan segelintir penyokong pembangkang yang mempolitikkan kunjungan Miss World 2025 ke Sabah, sambil menyifatkannya sebagai reaksi tidak matang dan bertentangan dengan nilai murni masyarakat Timur.
Beliau berkata, dalam tradisi ketamadunan manusia sejak zaman lampau sekali pun, budaya menghormati tetamu sentiasa dijunjung tinggi, termasuk terhadap musuh yang datang sebagai tetamu.
“Menghormati tetamu bukan sekadar adat, tetapi nilai asas kemanusiaan. Jika dalam sejarah masyarakat Arab sebelum kedatangan Islam pun tetamu dimuliakan, apatah lagi kita hari ini yang menjunjung nilai agama dan budaya,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook, hari ini.
Rombongan Miss World sebelum ini mengadakan kunjungan hormat ke Istana Negeri untuk menemui Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman. Mereka terdiri daripada Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Miss World, Julia Morley CBE, Miss World 2025, Opal Suchata Chuangsri dan Miss World Malaysia, Taanusiya Chetty.
Aksyah berkata, kecaman yang dilemparkan terhadap TYT susulan kunjungan itu amat dikesali dan tidak mencerminkan kematangan berpolitik.
“Apakah mereka tidak sedar bahawa kedatangan Miss World bukan lawatan kosong? Ia membawa mesej perpaduan, kebajikan dan jaringan antarabangsa yang memberi impak kepada negeri,” katanya.
Menurut beliau, Miss World boleh dianggap sebagai “duta bebas dunia” kerana pemegang gelaran berkenaan memikul tanggungjawab global dalam mempromosikan nilai kemanusiaan, kebajikan dan perpaduan sejagat.
Katanya, Sabah seharusnya berbangga kerana dipilih sebagai salah satu destinasi lawatan rasmi sepanjang tempoh pemegang gelaran itu menjalankan tanggungjawabnya.
Mengulas persoalan mengapa kunjungan itu melibatkan TYT, Aksyah berkata, Yang di-Pertua Negeri adalah simbol perpaduan dan institusi tertinggi negeri yang melambangkan kesatuan rakyat Sabah.
“Sudah tentu rombongan bertaraf dunia akan bertemu simbol perpaduan negeri. Itu amalan biasa dalam mana-mana lawatan rasmi,” katanya.
Aksyah turut menegaskan bahawa lawatan berkenaan membawa manfaat langsung kepada rakyat apabila Julia Morley CBE mengumumkan sumbangan RM300,000 bagi membantu pembinaan kelas Sabah Autism Society di Tuaran.
Selain itu, sumbangan USD5,000 akan turut disalurkan kepada Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas Kota Kinabalu untuk membantu para pelajar sekolah itu.
“Ini bukti jelas bahawa kehadiran mereka bukan sekadar simbolik. Ada impak kebajikan yang terus dirasai oleh komuniti,” katanya.
Beliau turut menyifatkan kunjungan itu sebagai peluang strategik mempromosikan Sabah di mata dunia, lebih-lebih lagi ketika negara meraikan Tahun Melawat Malaysia.
“Imej Sabah akan lebih dikenali di peringkat antarabangsa. Dalam keadaan dunia yang kompetitif, publisiti seperti ini amat bernilai untuk sektor pelancongan dan ekonomi negeri,” katanya.
Aksyah berkata, minat pihak pengurusan Miss World terhadap Sabah membuka kemungkinan negeri ini dipertimbangkan sebagai destinasi program berprestij itu pada masa depan.
“Saya yakin Sabah mampu ‘mendonia’ – dikenali di seluruh dunia – jika peluang ini dimanfaatkan sebaiknya,” katanya.
Beliau turut mencadangkan sekiranya Sabah berpeluang menjadi tuan rumah pertandingan Miss World, elemen kebudayaan tempatan seperti pakaian tradisional pelbagai kaum boleh diketengahkan di pentas antarabangsa, sekali gus memperkenalkan warisan unik negeri ini kepada dunia.
Sehubungan itu, beliau menggesa semua pihak agar tidak terus memainkan isu berkenaan secara berlebihan, sebaliknya bersyukur kerana masih ada tokoh antarabangsa yang sudi berkunjung dan mengangkat nama Sabah.
“Perkara baik tidak seharusnya dijadikan modal politik sempit. Rakyat lebih memerlukan naratif yang membina dan menyatukan,” katanya.
