KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Tenom, Riduan Rubin, menjelaskan ketidakhadirannya semasa pengundian Rang Undang Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2026 pada 2 Mac lalu adalah kerana memberi tumpuan kepada pengurusan bencana banjir besar yang melanda kawasan Parlimennya.
Menurut beliau, banjir yang melanda Tenom sejak 25 Februari 2026 merupakan antara yang terburuk pernah direkodkan di kawasan tersebut apabila menjejaskan 61 kampung dengan anggaran 4,000 Ketua Isi Rumah (KIR) terlibat.
Riduan menjelaskan beliau sebenarnya telah menunjukkan komitmen untuk mengambil bahagian dalam perbahasan RUU tersebut dan menyokong cadangan pindaan yang bertujuan mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada maksimum 10 tahun.
Namun katanya, keadaan banjir yang kritikal memerlukan beliau berada di kawasan bagi menyelaras operasi bantuan bersama Pejabat Daerah, agensi keselamatan, Jabatan Kebajikan Masyarakat serta pasukan sukarelawan.
“Banjir ini bukan sahaja menyebabkan kerosakan dan kehilangan harta benda, malah terdapat rumah yang musnah sepenuhnya serta gangguan kepada infrastruktur asas sehingga memaksa penduduk dipindahkan ke pusat pemindahan sementara,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau turut memaklumkan bahawa hakisan tebing sungai di beberapa kampung semakin serius sehingga menimbulkan risiko keselamatan kepada penduduk.
Menurut Riduan, sebagai wakil rakyat yang diberi mandat oleh pengundi, beliau merasakan tanggungjawab moral untuk berada bersama masyarakat ketika mereka menghadapi saat sukar akibat bencana tersebut.
Dalam masa sama, beliau memaklumkan ketidakhadirannya itu secara rasmi kepada Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri II serta Yang di Pertua Dewan Rakyat.
Riduan turut memohon maaf atas kesulitan yang timbul susulan ketidakhadirannya dalam proses pengundian tersebut.
Katanya, keputusan itu bukan kerana tidak menghormati proses demokrasi, sebaliknya dibuat demi memastikan keselamatan dan kebajikan rakyat Tenom dapat diberi keutamaan dalam situasi bencana luar biasa.
“Komitmen saya terhadap reformasi institusi, prinsip kebertanggungjawaban dan kesejahteraan negara tetap utuh, namun dalam keadaan bencana yang menimpa rakyat di kawasan saya, keutamaan kemanusiaan tidak boleh diketepikan,” katanya.
