SANDAKAN: Kira-kira 20 petak kubur di Tanah Perkuburan Jalan Sim Sim di sini dilaporkan terjejas akibat kejadian tanah runtuh yang berlaku baru-baru ini.
Susulan kejadian itu, anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sandakan telah menjalankan pemantauan di lokasi terlibat bagi menilai tahap keselamatan kawasan berkenaan.
Menurut kenyataan APM, sepasukan anggota daripada Skuad Delta telah digerakkan ke lokasi untuk melakukan pemeriksaan serta menilai keadaan semasa di kawasan tanah perkuburan tersebut.
“Hasil pemantauan mendapati kejadian runtuhan tanah itu melibatkan kira-kira 20 petak kubur di kawasan berkenaan,” menurut kenyataan itu.
Bagaimanapun, kejadian tersebut tidak menjejaskan laluan jalan raya berhampiran, dengan jarak antara kawasan runtuhan dan jalan utama dianggarkan kira-kira 12 meter.
APM turut memaklumkan bahawa risiko runtuhan susulan masih wujud sekiranya hujan lebat berterusan. Sehubungan itu, pemantauan berkala akan terus dilakukan bagi memastikan keadaan kekal terkawal dan selamat.
Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada serta mengelakkan berada terlalu hampir dengan kawasan runtuhan bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.
