KOTA KINABALU: Seramai 77 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) ditahan dalam operasi penguatkuasaan yang dijalankan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Sabah di sekitar Kota Kinabalu dan Keningau, Isnin lalu.
Pengarah JIM Sabah, Datuk Sh. Sitti Saleha Habib Yussof berkata, tangkapan itu hasil aduan orang awam serta risikan selama kira-kira seminggu di beberapa lokasi berasingan.
Menurutnya, operasi berkenaan melibatkan seramai 35 pegawai daripada Bahagian Penguatkuasaan JIM Kota Kinabalu dan Keningau, dengan pemeriksaan dijalankan ke atas 182 individu.
“Hasil pemeriksaan, seramai 77 PATI ditahan terdiri daripada warganegara Filipina dan Indonesia kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, kesemua individu yang ditahan gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan atau pas yang sah dan kini disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
Dalam pada itu, beliau menegaskan JIM Sabah tidak akan berkompromi dan akan terus mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu atau pihak yang melindungi, menggaji atau bersubahat dengan PATI.
“Orang ramai juga digesa supaya terus menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa bagi membantu usaha penguatkuasaan serta demi keselamatan dan kedaulatan negara,” katanya.
