KOTA KINABALU: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Sabah menahan seramai 53 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) menerusi pelaksanaan Ops Kutip dan Ops Sapu yang dijalankan selama dua hari bermula 2 hingga 3 Februari 2026 di sekitar daerah ini.
Pengarah Imigresen Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yussof berkata, operasi penguatkuasaan tersebut dilaksanakan oleh Unit Operasi, Bahagian Penguatkuasa dengan kekuatan seramai 61 pegawai dan anggota dari JIM Ibu Pejabat Kota Kinabalu.
Menurut beliau, sepanjang tempoh operasi berkenaan, seramai 177 individu telah diperiksa hasil pemeriksaan dan risikan yang dijalankan di lokasi-lokasi dikenal pasti.
“Hasil pemeriksaan mendapati seramai 53 warga asing disyaki melanggar peruntukan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, terdiri daripada 24 lelaki dan 29 perempuan, kesemuanya warganegara Filipina,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Datuk SH Sitti Saleha berkata, kesemua PATI yang ditahan telah dibawa ke Pejabat Imigresen untuk tindakan lanjut mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
Beliau menegaskan bahawa Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sabah akan terus komited melaksanakan operasi penguatkuasaan secara berterusan dan bersepadu bagi membanteras kehadiran pendatang asing tanpa izin.
“Langkah ini penting bagi memastikan keselamatan, ketenteraman awam dan kedaulatan negara sentiasa terpelihara. JIM juga tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melanggar undang-undang imigresen,” tegasnya.
Dalam pada itu, orang awam diminta untuk terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti PATI bagi membantu pihak berkuasa menjalankan tindakan penguatkuasaan dengan lebih berkesan.
