TAWAU: Sebanyak 525 unit produk peranti tembakau termasuk rokok elektronik atau vape yang tidak berdaftar dengan pihak berkuasa dirampas dalam satu operasi bersepadu yang dijalankan di daerah ini baru-baru ini.
Operasi dikenali sebagai Ops Taring Alpha 3 itu melibatkan kerjasama antara Kementerian Kesihatan Malaysia melalui Pejabat Kesihatan Kawasan Tawau bersama Task Force Batalion 14 Pasukan Gerakan Am Tawau.
Pegawai Kesihatan Kawasan Tawau, Dr Shameer Khan Sulaiman berkata, jumlah keseluruhan nilai rampasan dianggarkan sekitar RM14,000.
Menurut beliau, antara kesalahan yang dikenal pasti termasuk menjual produk vape yang tidak berdaftar dengan Kementerian Kesihatan selain pembungkusan dan pelabelan yang tidak mematuhi spesifikasi ditetapkan.
“Kita juga mengesan kesalahan melibatkan aktiviti pengiklanan produk peranti tembakau yang melanggar peruntukan di bawah Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024,” katanya.
Beliau menjelaskan, semua 525 peranti yang dirampas bukan barangan seludup, namun didapati tidak berdaftar serta gagal memenuhi syarat ditetapkan termasuk aspek pematuhan proses kemasukan produk.
Katanya, operasi tersebut dijalankan hasil risikan bersama pasukan PGA bagi membanteras penjualan produk tidak mematuhi peraturan di Tawau.
“Peniaga dan pengedar perlu memastikan produk dijual mematuhi semua garis panduan KKM termasuk pendaftaran yang sah.
“Kita akan terus menjalankan operasi dari semasa ke semasa dan tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas termasuk rampasan serta pelupusan,” katanya lagi.
Menurutnya, semua peranti vape yang dirampas akan dilupuskan mengikut prosedur yang ditetapkan pihak berkuasa.
