TAWAU: Seorang wanita berusia 25 tahun maut selepas kereta dipandunya terbabas sendiri dalam satu kejadian di Bandar Sri Indah, di sini, hari ini.
Dalam kejadian itu, mangsa yang memandu sebuah Perodua Kenari dipercayai hilang kawalan sebelum kenderaan terbabas ke tepi jalan.
Ketua Balai BBP Tawau, Jemishin Bin Ujin berkata, pihak bomba menerima panggilan kecemasan sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Seramai enam anggota bersama dua jentera iaitu FRT dan EMRS tiba di lokasi kira-kira jam 12.45 tengah hari.
“Bagaimanapun, mangsa telah dikeluarkan lebih awal oleh pasukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum ketibaan bomba,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, mangsa kemudiannya disahkan meninggal dunia oleh pihak KKM di lokasi kejadian.
“Mayat mangsa seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.
Beliau berkata, pasukan bomba hanya menjalankan pemantauan di lokasi bagi memastikan tiada sebarang risiko bahaya lain.
Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 1.22 tengah hari selepas keadaan disahkan selamat.
