TAWAU: Sebanyak 40 buah rumah setinggan jenis tidak kekal musnah dalam satu kejadian kebakaran besar yang berlaku di Kampung Titingan, di sini, pagi tadi. Bagaimanapun, tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian tersebut.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, TPgB Jemishin bin Ujin, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 10.15 pagi sebelum jentera pertama tiba di lokasi kejadian pada jam 10.23 pagi, kira-kira 7 kilometer dari balai.
“Kebakaran melibatkan kira-kira 40 buah rumah setinggan dengan keluasan keseluruhan dianggarkan 131 x 147 meter.
Struktur rumah yang tidak kekal serta keadaan angin yang tidak menentu menyebabkan api merebak dengan pantas,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, operasi pemadaman dijalankan menggunakan tiga aliran sepanjang 900 kaki dengan enam pancutan, dengan sumber air diperoleh daripada jentera bomba, lori tangki air, pili bomba serta sumber air terbuka dari longkang.
“Operasi berdepan kesukaran disebabkan tekanan air yang rendah, namun api berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 11.55 pagi,” katanya.
Tambahnya, operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 3.19 petang selepas pihak bomba memastikan tiada lagi bahaya di lokasi kejadian.
Seramai 25 anggota BBP Tawau bersama tujuh anggota Bomba Komuniti Titingan dan Unit Dron JBPM melibatkan dua anggota telah dikerahkan ke lokasi.
Operasi turut dibantu beberapa agensi lain termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Sabah Electricity, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Air.
JBPM turut menggerakkan beberapa aset termasuk sebuah FRT, LFRT, lori tangki air, EMRS serta kenderaan sokongan bagi melancarkan operasi pemadaman dan keselamatan.
Punca kebakaran serta anggaran kerugian masih dalam siasatan pihak berkuasa.
