SEMPORNA: Sebanyak 39 keping saman dikeluarkan dalam satu Operasi Sekatan Jalan Raya (SJR) yang dijalankan di KM2, Jalan Semporna – Tawau, di sini, sempena sambutan Tahun Baharu Cina 2026.
Ketua Polis Daerah Semporna, Superintenden Polis Tan Hiap Wah berkata, operasi berkenaan dilaksanakan bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam sentiasa berada pada tahap terbaik sepanjang musim perayaan.
Menurutnya, operasi itu dikendalikan oleh sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) IPD Semporna dengan kerjasama Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (BPJKK), diketuai oleh Ketua Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah, Insp. Samsudin bin Ali.
“Sepanjang operasi dijalankan, sebanyak 39 saman telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan lalu lintas termasuk tidak memiliki lesen memandu yang sah, cukai jalan tamat tempoh, tiada perlindungan insurans serta kesalahan teknikal kenderaan.
“Operasi ini bertujuan mengesan kenderaan curi, membanteras kegiatan jenayah seperti pecah rumah dan penyeludupan, selain mengesan individu yang dikehendaki polis serta mengurangkan kadar kemalangan jalan raya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Tan Hiap Wah berkata, pemeriksaan turut melibatkan semakan dokumen kenderaan dan lesen memandu di samping memberi nasihat keselamatan kepada pengguna jalan raya agar sentiasa mematuhi undang-undang yang ditetapkan.
Beliau menegaskan bahawa operasi seumpama itu akan terus dipertingkatkan dari semasa ke semasa khususnya menjelang musim perayaan bagi memastikan orang ramai dapat menyambut perayaan dalam keadaan aman dan selamat.
“Polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang melanggar undang-undang.
Kerjasama masyarakat amat penting dalam membantu pihak polis mengekalkan keamanan dan keselamatan daerah ini.
“Orang ramai juga dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada ketika meninggalkan kediaman, memastikan rumah dalam keadaan berkunci dan selamat serta tidak memandu secara cuai atau di bawah pengaruh alkohol,” katanya.
Beliau turut menggesa orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan sebarang kegiatan jenayah supaya menyalurkan maklumat kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
