LAHAD DATU: Seramai 35 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam dua operasi berasingan yang dilaksanakan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Sabah di Lahad Datu dan Kota Kinabalu, semalam.
Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sabah, Sitti Saleha Habib Yussof berkata, dalam Ops Sapu yang dijalankan di Lahad Datu, seramai 22 pegawai penguat kuasa telah memeriksa 111 individu terdiri daripada warganegara Malaysia, Indonesia dan Filipina.
“Hasil pemeriksaan mendapati 31 warga asing disyaki melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 lalu ditahan untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, daripada jumlah itu, tiga lelaki dewasa, 12 wanita dewasa, lapan kanak-kanak lelaki dan lapan kanak-kanak perempuan ditahan atas kesalahan tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah, tinggal lebih masa serta melanggar syarat pas mengikut Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) akta berkenaan.
Sementara itu, dalam Ops Jaja yang dijalankan di Kota Kinabalu, seramai 14 pegawai telah memeriksa 10 individu dan menahan empat PATI membabitkan dua lelaki serta dua wanita dewasa atas kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Sitti Saleha menegaskan pihaknya akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi memastikan undang-undang imigresen dipatuhi serta membanteras kehadiran PATI di negeri ini.
“JIM Sabah tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melanggar undang-undang imigresen.
Operasi akan diteruskan secara berfokus dan bersepadu bagi memastikan keselamatan serta kedaulatan negara terus terpelihara,” tegasnya.
