SEMPORNA: Seramai 20 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Filipina dan Republik Rakyat China ditahan dalam Operasi Bersepadu Daerah Semporna yang dikoordinasikan oleh Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) selama dua hari bermula 10 hingga 11 Mac lalu.
Komander ESSCOM, DCP Datuk Victor B. Sanjos, berkata operasi tersebut turut menyaksikan pelbagai tindakan penguatkuasaan dan rampasan dengan nilai keseluruhan dianggarkan sebanyak RM491,413.76.
Menurutnya, operasi dijalankan susulan aduan orang awam berhubung penglibatan warga asing yang dipercayai mengendalikan aktiviti operator serta perniagaan pelancongan secara tidak sah tanpa lesen di sekitar Semporna.
“Operasi ini juga merupakan tindakan susulan terhadap kenyataan Menteri Dalam Negeri berhubung penyalahgunaan Pas Lawatan Sosial (PLS) oleh warga asing untuk menjalankan aktiviti perniagaan khususnya dalam sektor pelancongan di kawasan Zon Selamat Sabah Timur (ESS Zone),” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata operasi bersepadu itu melibatkan kerjasama pelbagai agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) serta beberapa jabatan dan agensi Persekutuan, negeri dan pihak berkuasa tempatan.
Menurutnya, seramai 231 pegawai dan anggota terlibat dalam operasi tersebut yang turut menjalankan pemeriksaan ke atas 41 resort dan premis perniagaan di sekitar bandar serta perairan Semporna termasuk kawasan koloni setinggan, pinggir bandar dan kampung.
“Hasil pemeriksaan mendapati seramai 48 individu diperiksa dan daripada jumlah tersebut 20 individu dikenal pasti sebagai PATI,” katanya.
Kesemua individu yang ditahan telah diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Semporna untuk tindakan lanjut di bawah Seksyen 15(1)(c) dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah serta tinggal melebihi tempoh dibenarkan.
Dalam operasi sama, pelbagai kesalahan turut dikesan oleh agensi penguat kuasa yang terlibat termasuk kesalahan berkaitan undang-undang pekerjaan, pendaftaran syarikat, perlindungan data peribadi, pelesenan premis, keselamatan kebakaran serta kebersihan makanan.
Selain itu, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) turut merampas minuman keras tanpa lesen bernilai RM20,153.76 termasuk cukai, manakala Jabatan Hidupan Liar Sabah merampas daging penyu serta daging babi hutan dengan nilai dianggarkan RM3,260.
Victor berkata ESSCOM merakamkan penghargaan kepada semua jabatan dan agensi yang terlibat termasuk PDRM, JIM, JKDM, JBPM, KPDN, JTK, SSM, KWSP, PERKESO, JPDP, Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah, Jabatan Hidupan Liar Sabah, Jabatan Perikanan Sabah, Majlis Daerah Semporna serta Kementerian Kesihatan Malaysia.
“Kerjasama erat antara semua agensi ini mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memperkukuh penguatkuasaan undang-undang serta memastikan keselamatan dan ketenteraman awam di ESS Zone sentiasa terpelihara,” katanya.
Beliau menambah operasi tersebut juga merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Kerajaan MADANI melalui Operasi SANGGAH ESSCOM bagi memperkukuh operasi keselamatan di Sabah Timur.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan sebarang insiden keselamatan di ESS Zone diminta menyalurkannya kepada Pusat Operasi ESSCOM di talian 089-863181 atau WhatsApp 011-63311072.
