LABUAN: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Wilayah Persekutuan Labuan menahan seramai 20 pendatang tanpa izin (PATI) dalam satu operasi penguatkuasaan yang dijalankan di sekitar wilayah ini, awal pagi tadi.
Operasi yang berlangsung pada jam 12.30 tengah malam hingga 2.30 pagi itu digerakkan hasil maklumat orang awam serta risikan oleh Unit Aduan, Risikan dan Operasi, Bahagian Penguat Kuasa JIM WP Labuan.
Pengarah JIM WP Labuan, Raymond Entalai berkata, seramai 22 pegawai telah digerakkan ke empat lokasi penempatan dan membuat pemeriksaan terhadap 46 individu.
“Hasil pemeriksaan mendapati seramai 20 warga asing disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c), Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Menurut beliau, mereka yang ditahan terdiri daripada tiga lelaki dewasa, enam perempuan dewasa, tujuh kanak-kanak perempuan dan empat kanak-kanak lelaki, kesemuanya warganegara Filipina berumur antara empat bulan hingga 59 tahun.
Selain itu, dua notis saman turut dikeluarkan kepada saksi bagi membantu siasatan lanjut.
Kesemua individu yang ditahan telah dibawa ke Pejabat Bahagian Penguat Kuasa JIM WP Labuan untuk tujuan dokumentasi dan siasatan lanjut.
Sepanjang operasi dijalankan, keadaan dilaporkan terkawal tanpa sebarang insiden tidak diingini.
Raymond berkata, operasi penguatkuasaan akan dilaksanakan secara berterusan bagi mengesan, menahan, mendakwa dan memindahkan warga asing yang melanggar undang-undang negara.
“Tindakan tegas akan diambil di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 serta Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM).
“Kita juga tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang menggaji atau melindungi PATI,” tegasnya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kehadiran PATI boleh menyalurkan aduan melalui talian 087-421 296.
