KOTA KINABALU: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Sabah menahan seramai 18 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) dalam Operasi Mahir dan Operasi Kutip yang dijalankan di sekitar daerah ini, semalam.
Pengarah JIM Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yusoff berkata, operasi berkenaan melibatkan seramai 35 pegawai penguat kuasa dan pemeriksaan ke atas 134 individu daripada pelbagai kewarganegaraan.
Menurut beliau, hasil pemeriksaan mendapati kesemua individu yang ditahan disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan telah dibawa ke depot imigresen untuk tindakan lanjut.
“Daripada jumlah keseluruhan, 17 individu merupakan warganegara Filipina terdiri daripada tujuh lelaki dewasa, lima wanita dewasa, dua kanak-kanak lelaki dan tiga kanak-kanak perempuan, manakala seorang lagi ialah lelaki dewasa warganegara Pakistan,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau menegaskan, pihaknya tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang melanggar undang-undang imigresen negara dan tindakan tegas akan terus diambil dari semasa ke semasa.
“Operasi ini merupakan sebahagian daripada komitmen JIM bagi memastikan hanya individu yang mematuhi undang-undang dibenarkan tinggal dan bekerja di Malaysia,” katanya.
Tambahnya, JIM Sabah akan terus mempergiatkan operasi penguatkuasaan bagi membanteras kehadiran PATI sekali gus memastikan keselamatan, ketenteraman awam serta kedaulatan negara terus terpelihara.
