TENOM: Seramai 18 mangsa daripada tiga keluarga dipindahkan selepas kediaman mereka dilanda banjir di Kampung Sugiang Lama, Kemabong dekat sini malam tadi.
Menurut laporan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia JBPM Negeri Sabah, panggilan kecemasan diterima pada jam 9.51 malam sebelum pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat BBP Tenom digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak kira kira 29 kilometer dari balai.
Pasukan bomba yang tiba pada jam 12.01 tengah malam mendapati kebanyakan rumah dan jalan raya di kampung berkenaan telah dinaiki air.
Operasi penyelamatan diketuai Komander Operasi PBK II Azri Bidin dengan kekuatan empat anggota bersama sebuah kenderaan pacuan empat roda dan sebuah bot penyelamat.
Kesemua mangsa berjaya dibawa keluar dari rumah masing masing sebelum dikumpulkan di Surau Kampung Bagiang Lama sebagai lokasi selamat sementara.
Bagaimanapun usaha menghantar mangsa ke pusat pemindahan sementara PPS Dewan Ontoros Kemabong tidak dapat diteruskan selepas Jalan Kampung Kalamatoi tidak boleh dilalui akibat banjir.
Sebahagian mangsa kemudiannya ditempatkan di rumah keluarga terdekat.
Daripada jumlah mangsa, tujuh adalah lelaki dewasa, lima perempuan dewasa, seorang kanak kanak lelaki dan lima kanak kanak perempuan.
Operasi yang turut melibatkan Polis Diraja Malaysia dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia ditamatkan pada jam 5.10 pagi sebelum pasukan bomba meneruskan operasi di kawasan lain.
