KOTA BELUD: Sebanyak 14 buah rumah jenis separuh kekal terlibat dalam satu kejadian kebakaran di Kampung Melangkap Kapa, di sini, pagi tadi.
Menurut Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Sabah, panggilan kecemasan diterima pada jam 10:57 pagi melalui talian NG999.
Jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Kota Belud yang dibantu Pasukan Bomba Sukarela Pangkalan Abai bergegas ke lokasi kejadian yang terletak kira kira 36 kilometer dari balai sebelum tiba pada jam 11:48 pagi.
Komander Operasi, PBK I Suffian Aban memaklumkan kebakaran melibatkan 14 buah rumah dengan anggaran keluasan keseluruhan 148 kali 82 kaki.
Daripada jumlah itu, 10 buah rumah musnah sepenuhnya manakala empat lagi terbakar kira kira 10 peratus.
Pasukan bomba menjalankan operasi pemadaman menggunakan satu aliran sepanjang 300 kaki dengan dua pancutan serta menggunakan pam angkut dengan sumber air terbuka dari sungai berhampiran.
Operasi turut berdepan cabaran apabila jentera FRT tidak dapat memasuki lokasi kejadian berikutan laluan sempit dan keadaan jambatan yang tidak kukuh.
Kebakaran berjaya dikawal pada jam 12:21 tengah hari dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 3:15 petang selepas kerja kerja overhaul dijalankan bagi memastikan tiada punca api berulang.
Seramai sembilan anggota terlibat dalam operasi berkenaan membabitkan sebuah jentera FRT, EMRS dan Proton Arena.
Turut membantu di lokasi ialah tiga anggota Polis Diraja Malaysia dan enam anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia.
Tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian itu.
Orang ramai dinasihatkan agar sentiasa memastikan tahap keselamatan kediaman masing masing bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku.
