SEMPORNA: Mahkamah Majistret Semporna menjatuhkan hukuman terhadap 10 tertuduh atas pelbagai kesalahan jenayah selepas kesemua mereka mengaku bersalah terhadap pertuduhan masing masing.
Ketua Polis Daerah Semporna, Superintenden Tan Hiap Wah berkata, hukuman dijatuhkan oleh Majistret Dayang Aidaku Amira Aminuddin dengan pendakwaan dikendalikan oleh Insp. Muhammad Nur Faez Hazreeq Abdullah. Kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.
Antara kesalahan yang dihadapi termasuk judi loteri haram, judi atas talian di tempat awam, khianat, mencuri, pecah rumah, sekatan salah serta memiliki tandan buah kelapa sawit tanpa keterangan munasabah.
Beberapa tertuduh dijatuhi hukuman denda antara RM100 hingga RM4,300 atau penjara jika gagal membayar denda, manakala kes lebih serius seperti khianat, curi dan pecah rumah dikenakan hukuman penjara antara tujuh bulan hingga dua tahun. Tertuduh bukan warganegara pula diperintahkan dirujuk kepada Jabatan Imigresen Malaysia selepas tamat hukuman.
Tan menegaskan pihak polis akan terus mengambil tindakan tegas tanpa kompromi terhadap mana mana individu yang melanggar undang undang serta menyeru orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan jenayah bagi memastikan keselamatan awam terus terpelihara.
