
Kota Kinabalu : YB Datuk Jonnybone Kurum hari ini telah mempengerusikan Mesyuarat Khas Persediaan Pemuda Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dalam usaha menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17 yang akan diadakan pada bila-bila masa.
Mesyuarat penting ini turut bersetuju untuk pelantikan Ketua Penyelaras Pemuda GRS di setiap Parlimen , sebagai sebahagian daripada usaha memperkemas dan memperkukuh jentera Pemuda di peringkat akar umbi.
YB Datuk Jonnybone menegaskan bahawa PRN kali ini adalah ujian terbesar buat rakyat Sabah, kerana buat pertama kalinya Sabah telah bebas daripada cengkaman parti-parti nasional yang menguasai negeri ini hampir tiga dekad.
“Di bawah kepimpinan kerajaan negeri GRS, Sabah menikmati autonomi, kestabilan, dan pencapaian yang tidak pernah kita capai sebelum ini,” katanya.
Menurut beliau, GRS kini menjadi payung besar kepada lapan parti tempatan iaitu PGRS, PBS, STAR, SAPP, USNO, PHRS, PCS, dan LDP — satu pencapaian yang belum pernah berlaku dalam sejarah negeri ini.
Namun, beliau memberi amaran bahawa terdapat tangan-tangan luar yang cuba menggugat kestabilan ini, termasuk cubaan mencetuskan kekeliruan dan perpecahan di peringkat akar umbi. Jika GRS tewas kali ini, masa depan Sabah mungkin tergadai untuk 15 hingga 20 tahun akan datang.
Jika GRS tewas kali ini, Sabah mungkin terpaksa menunggu 15 hingga 20 tahun lagi untuk menyaksikan semua parti tempatan bersatu di bawah satu rumah – seperti GRS hari ini,” katanya.
Datuk Jonnybone turut mengecam tindakan Menteri KKDW, Zahid Hamidi selaku Presiden UMNO, yang menghentikan dana tahunan untuk bayaran elaun JKKK serta memperkenalkan jawatan JPKK Persekutuan yang diserahkan kepada lantikan politik UMNO dan Warisan di peringkat kampung. Menurutnya, jawatan tersebut hanya menimbulkan perpecahan di kalangan rakyat akar umbi.
Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa Kerajaan Negeri GRS tetap membayar gaji JKKK tanpa bergantung pada dana Persekutuan, bukti jelas kerajaan negeri lebih bertanggungjawab dan berdikari.
Mesyuarat turut membincangkan sebulat persiapan majlis Pelancaran jentera Pemuda GRS dan penyampaian watikah Pelantikan Penyelaras Pemuda Bahagian GRS dalam masa terdekat.
Pemuda GRS berikrar untuk mempertahankan maruah dan masa depan Sabah.
“Kita tidak akan biarkan negeri ini kembali kepada era kegelapan. Ini masa kita, ini masa Sabah,” tegas Jonnybone.