
KENINGAU: Pengerusi Persatuan Kebajikan Masyarakat Bingkor merangkap Timbalan Presiden Persatuan Kebudayaan dan Kebajikan Etnik Kujau Gana Nabai Sabah (KGNS), Yazid Hj Mohd Hasnan Tawik @ Charles, menyeru masyarakat supaya sentiasa berwaspada susulan beberapa kawasan di Sabah dilaporkan dinaiki air akibat hujan lebat sejak semalam.
Beliau berkata, keadaan itu menjejaskan aktiviti harian penduduk, khususnya di kawasan rendah serta berhampiran sungai yang berisiko tinggi dilanda banjir.
“Keselamatan diri dan keluarga mesti sentiasa diutamakan. Orang ramai juga perlu mematuhi arahan pihak berkuasa dari semasa ke semasa, terutama berkaitan pemindahan serta langkah keselamatan lain,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Dalam masa sama, Yazid mengajak seluruh rakyat Sabah untuk mendoakan agar keadaan cuaca kembali pulih serta memberi kekuatan dan kesabaran kepada mangsa yang terkesan menghadapi dugaan ini.
“Marilah kita bersama-sama menghulurkan solidariti dan doa buat Sabah – Pray for Sabah,” katanya.