
Dalam suasana politik Sabah yang semakin berpecah dan tidak menentu, Parti Warisan Sabah (WARISAN) muncul kembali sebagai antara kuasa yang tidak boleh dipandang ringan menjelang Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN-17).
Walaupun pernah kehilangan momentum selepas perubahan kerajaan negeri pada 2020, tanda-tanda kebangkitan semula parti pimpinan Datuk Seri Haji Mohd Shafie Apdal kini semakin jelas dirasai di lapangan.
Parti Warisan menunjukkan kesediaan untuk memberi saingan kuat pada PRN-17 dengan perancangan bertanding di semua kerusi Dewan Undangan Negeri serta usaha menampilkan calon-calon berwibawa yang berupaya meraih semula kepercayaan rakyat.
Dalam landskap politik tanpa parti dominan, Warisan dilihat berpotensi menjadi pencabar utama kepada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sekiranya berjaya memperkukuh jentera di peringkat akar umbi dan menyesuaikan isu rakyat dengan mesej perjuangan “Sabah untuk Sabah” atau terkini “Selamatkan Sabah”.
Situasi politik negeri yang kurang stabil serta isu-isu berkaitan kos sara hidup, pembangunan luar bandar, dan autonomi negeri turut membuka ruang kepada Warisan untuk memanfaatkan kekecewaan pengundi terhadap prestasi kerajaan semasa.
Parti itu kini cuba menampilkan diri sebagai pilihan rasional kepada rakyat Sabah yang mahukan kestabilan baharu berasaskan integriti dan keupayaan pentadbiran.
Namun, cabaran terbesar Warisan ialah menilai semula apa yang selama ini dianggap “fix deposit” mereka iaitu Semporna.
Kawasan yang sinonim dengan Shafie dan dianggap kubu kebal Warisan kini menampakkan tanda-tanda perubahan dengan kemunculan dua tokoh baharu daripada Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS), Datuk Haji Hajan Gurimbang di DUN Sulabayan dan Datuk Haji Marunda Ampong di DUN Bugaya.
Kehadiran kedua-dua figura ini membawa dimensi baharu dalam politik Semporna.
Datuk Haji Hajan, misalnya, mula mencipta gelombang melalui pendekatan pembangunan berasaskan hasil nyata.
Projek Feri Bum-Bum sebagai contoh, yang kini di fasa akhir pembinaan landing points, menjadi bukti nyata kepada komitmennya untuk mengubah landkap sosio ekonomi Sulabayan.
Selama ini, isu jambatan Pulau Bum-Bum menjadi topik sensasi dan simbol harapan rakyat yang tertangguh.
Namun, inisiatif feri itu dilihat sebagai penyelesaian praktikal yang bukan sahaja menghubungkan Pulau Bum-Bum dan tanah besar Semporna, tetapi juga membuka peluang ekonomi baharu kepada penduduk setempat.
Pendekatan Datuk Hajan ini sekaligus memperlihatkan perubahan dinamik politik di kawasan tersebut dan menarik kepercayaan rakyat untuk mula menilai siapa yang benar-benar membawa hasil pembangunan, bukan sekadar janji.
Dari segi strategi, langkah ini memberi tekanan besar kepada Warisan untuk menampilkan calon yang mampu menyaingi kerja nyata yang sudah dilaksanakan oleh PGRS.
Di DUN Bugaya pula, situasinya tidak kurang menarik,Datuk Haji Marunda Ampong, bekas penggerak utama jentera Warisan suatu ketika dahulu, kini membawa cabaran besar kepada bekas partinya sendiri.
Dengan pengalaman dan hubungan akrabnya bersama akar umbi serta ikatan kekeluargaan, Marunda mempunyai kelebihan membina semula jaringan sokongan yang pernah menjadi kekuatan Warisan.
Kini, dengan sokongan kerajaan negeri bersama GRS, beliau dilihat berpotensi memberi saingan paling sengit di Bugaya sejak Warisan menguasai kawasan itu.
Dalam konteks ini, Datuk Seri Shafie Apdal perlu berhati-hati dalam pemilihan calon di kedua-dua DUN tersebut.
Calon yang tidak mempunyai kekuatan di lapangan boleh membuka ruang besar kepada PGRS untuk menembusi kubu Warisan di Semporna.
Warisan perlu menampilkan calon yang bukan sekadar popular, tetapi mempunyai kredibiliti, hubungan dengan masyarakat setempat, dan keupayaan membawa isu pembangunan secara realistik.
Bagi DUN Senallang, yang merupakan kerusi tradisi Shafie, pemerhati menjangka beliau masih mampu mempertahankan kedudukannya dengan majoriti besar. Namun, dominasi di Senallang sahaja tidak cukup untuk mengekalkan pengaruh Warisan di seluruh Sabah.
Untuk dilihat sebagai kerajaan alternatif yang realistik, Warisan mesti membuktikan keupayaan menawan semula beberapa kawasan utama di pantai timur dan tengah negeri yang kini berada di bawah GRS dan BN.
Secara keseluruhan, Warisan kini berdiri di titik genting antara peluang kebangkitan dan risiko kehilangan pengaruh sepenuhnya.
PRN-17 akan menentukan sama ada parti ini masih mempunyai roh perjuangan rakyat Sabah atau sekadar menjadi kenangan politik masa lalu.
Namun satu perkara jelas,Warisan tidak boleh dipandang enteng.
Dengan jentera yang kembali aktif dan semangat juang yang semakin menyala, parti ini berpotensi menjadi pencabar utama yang boleh mengubah peta politik Sabah sekali lagi.
PENAFIAN:
Artikel ini ditulis berdasarkan analisis bebas dan tidak mewakili mana-mana parti politik.
Ia sekadar pandangan dan ramalan daripada pemerhati politik tempatan berdasarkan situasi semasa.Penulis mempunyai pengalaman berkhidmat dengan ahli politik di Sabah dan telah bertugas sebagai wartawan sejak tahun 2010 hingga kini.
TINJAUAN POLITIK #DeasokaMemilihSabah2025