
TAMPARULI: Seorang lelaki warga emas berusia 67 tahun maut selepas terjatuh ke dalam gaung sedalam 150 meter ketika dalam perjalanan menuju ke kebunnya di Kampung Kionsom Baru, di sini malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 8.15 malam itu, mangsa dipercayai tergelincir sebelum terjatuh ke kawasan curam berkenaan.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 8.14 malam melalui talian MERS 999 sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran dengan kekuatan 10 anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Setibanya pasukan di lokasi pada jam 8.35 malam, didapati mangsa berada di dasar gaung. Pasukan penyelamat kemudian melaksanakan operasi menaikkan mangsa.
“Namun, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dan mayatnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Operasi diketuai Pegawai Bomba Kanan I, Mahmud Jumah, dengan bantuan tiga anggota polis dari Balai Polis berhampiran.
Operasi berkenaan ditamatkan sepenuhnya pada jam 10.40 malam.