
SANDAKAN: Seorang wanita berusia 62 tahun maut selepas dirempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Isuzu DMax dalam kejadian di Jalan Batu Sapi, di sini, malam tadi.
Dalam insiden kira-kira jam 7.15 malam itu, mangsa dilaporkan melintas jalan dari arah kanan ke kiri ketika sebuah kenderaan dipandu lelaki tempatan berusia 31 tahun melalui lokasi berkenaan dari pusat bandar Sandakan menuju ke Taman Mawar.
Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner George B. Abd Rakman berkata, pemandu terbabit tidak sempat membrek kerana jarak yang terlalu dekat lalu melanggar mangsa di bahagian kanan jalan.
“Akibat pelanggaran itu, mangsa tercampak ke lorong sebelah kiri jalan dan mengalami kecederaan parah di kepala sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
“Mayat mangsa sudah dibawa ke Unit Forensik Hospital Duchess of Kent, Sandakan, untuk proses bedah siasat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, kes kini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Beliau dalam pada itu menasihati orang ramai supaya sentiasa berwaspada ketika menggunakan jalan raya serta mematuhi undang-undang lalu lintas bagi mengelakkan kemalangan maut.