
TAWAU: Kelicikan seorang lelaki warga asing yang berpura-pura “baik’ sebelum bertindak melarikan sebuah motosikal milik pengawal keselamatan akhirnya gagal apabila dia ditahan polis dalam satu operasi di sini, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, suspek berusia dalam lingkungan 20-an itu diberkas sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau kira-kira jam 12.31 pagi di kawasan Jalan Bunga.
“Siasatan mendapati suspek mendekati mangsa yang bertugas sebagai pengawal keselamatan di sebuah sekolah di Semporna dengan alasan mahu meminjam motosikal rakan sekerja mangsa,”
“Disebabkan rakan sekerja belum tiba di lokasi, suspek kemudian meminta untuk meminjam motosikal mangsa sendiri pada jam 9.30 pagi, tanpa syak, mangsa menyerahkan kunci motosikal Modenas miliknya tetapi kenderaan itu tidak dipulangkan,” katanya.
Mangsa membuat laporan polis di Balai Polis Semporna pada malam 29 Julai selepas gagal mengesan suspek.
Bertindak atas maklumat, polis IPD Tawau berjaya mengesan suspek dan merampas semula motosikal berkenaan.
Suspek yang tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri sah kini disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan bermotor serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah.
ACP Jasmin menasihatkan orang ramai supaya lebih berwaspada dan tidak mudah mempercayai individu yang tidak dikenali bagi mengelak menjadi mangsa penipuan seumpama ini.