
TAWAU : Seorang wanita yang cedera parah selepas dirempuh pacuan empat roda dipandu lelaki disyaki mabuk ketika berlari bersama rakan-rakannya pada 9 Ogos lalu, disahkan meninggal dunia pagi tadi.
Mangsa, Darna Tajudin, 41, menghembuskan nafas terakhir pada jam 8.37 pagi ketika menerima rawatan di Hospital Tawau.
Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Tawau, Superitendan Champin Piuh, punca sebenar kematian masih menunggu laporan bedah siasat.
“Sekiranya hasil post mortem mengesahkan kematian berpunca daripada kecederaan akibat dilanggar, suspek akan dituduh di bawah Seksyen 44(1)(b) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Dalam kejadian jam 7.55 malam, 9 Ogos lalu di Batu 9, Jalan Apas, kenderaan jenis Toyota Hilux dipandu lelaki berusia 57 tahun dipercayai di bawah pengaruh alkohol telah melanggar sebuah Perodua Alza sebelum terbabas dan merempuh mangsa yang sedang berlari dari arah Bandar Sri Indah menuju T2.