
Saya merujuk kepada kenyataan yang dikeluarkan oleh Pergerakan Pemuda Gagasan Rakyat Bahagian Kawang terhadap Pengerusi KEADILAN Sabah, Datuk Mustapha Sakmud.
Sebagai suara Wanita KEADILAN Sabah, saya menegaskan bahawa pandangan Datuk Mustapha adalah sebahagian daripada wacana politik yang sihat dan bertanggungjawab.
Ia tidak harus dilihat sebagai serangan, sebaliknya satu peringatan agar kerjasama politik di Sabah benar-benar memberi manfaat kepada rakyat, khususnya golongan wanita, kanak-kanak dan masyarakat luar bandar.
Sebagai pemimpin, tragedi Allahyarhamah Zara Qairina tidak wajar dijadikan isu politik. Seharusnya seluruh rakyat dan pihak berkuasa perlu bersatu hati untuk menegakkan keadilan dan melaksana reformasi institusi yang diperlukan agar tiada lagi kes sebegini berulang kembali.
Kita perlu menjadi contoh teladan dengan berpolitik secara berhemah, matang, dan fokus kepada penyelesaian, bukan dengan retorik atau menuding jari. Wanita KEADILAN Sabah percaya rakyat menilai pemimpin melalui tindakan, kejujuran, dan kesungguhan membela mereka.
Di samping itu, Wanita KEADILAN Sabah ingin menyeru parti-parti politik di Sabah untuk:
- Terus Mengutamakan kebajikan dan tidak berkompromi terhadap keselamatan rakyat, terutamanya pelajar sekolah, wanita dan kanak-kanak.
- Mengukuhkan kerjasama politik demi kestabilan dan pembangunan Negeri. Secara tidak langsung memperkasa hubungan Kerajaan Negeri dan Persekutuan tanpa menafikan hak Sabah dalam Perjanjian Malaysia 1963
- Membawa suara rakyat Sabah secara konsisten di peringkat nasional melalui Kerajaan Perpaduan yang dipimpin YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Wanita KEADILAN Sabah kekal dengan pendirian berhemah tetapi tegas, agar politik terus menjadi wahana membela rakyat dan bukan medan untuk melemahkan keyakinan masyarakat.