
TAWAU: Polis menahan seorang wanita berusia 23 tahun kerana dipercayai mengeluarkan ucapan berunsur hasutan semasa Himpunan Solidariti ‘Justice for Zara’ di sini, Ahad lalu.
Suspek ditahan kira-kira jam 12.30 tengah hari di kawasan Batu 4, Jalan Apas, selepas dikenal pasti menerusi siasatan lanjut.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin, berkata siasatan dilakukan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 506 Kanun Keseksaan, Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Ketika ini, polis sedang merakam percakapan suspek dan siasatan diteruskan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Polis sebelum ini menerima tiga laporan mengenai ucapan suspek yang didakwa menyentuh sensitiviti pihak tertentu, termasuk terhadap Tuan Yang Terutama (TYT), Tun Musa Aman.
Jasmin menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang cuba menimbulkan kegusaran awam, khususnya menerusi ucapan terbuka.