
LAHAD DATU : Sebuah vesel pukat jerut bilis ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Lahad Datu selepas didapati beroperasi terlalu hampir dengan daratan di perairan Kunak, semalam.
Pengarah Zon Maritim Lahad Datu, Komander Maritim Dzulfikhar Ali berkata, penahanan dilakukan sekitar jam 11.55 pagi pada kedudukan 0.14 batu nautika timur Pulau Timbun Mata menerusi Op Pluto Timur 2/2013 dan Op Tiris 3.0.
“Hasil pemeriksaan mendapati vesel itu dikendalikan seorang tekong warga tempatan berusia 18 tahun bersama empat kru warga Filipina berumur 17 hingga 25 tahun. Turut ditemui hasil tangkapan laut seberat lapan kilogram,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati vesel berkenaan melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat lesen dengan menangkap ikan pada jarak kurang satu batu nautika dari daratan terdekat.
Selain itu, katanya, vesel tersebut juga dikesan melanggar Enakmen Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah apabila gagal memaklumkan pertukaran tekong seperti yang diwajibkan dalam lesen bot.
Dzulfikhar menegaskan pihaknya akan terus mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pengusaha bot nelayan yang ingkar syarat lesen, khususnya di kawasan larangan.
“Peraturan jarak ini ditetapkan bagi melindungi ekosistem marin serta memastikan sumber perikanan negara kekal mampan,” katanya.
Vesel bersama kru dan hasil tangkapan kemudian dibawa ke Jeti Maritim Lahad Datu untuk siasatan lanjut.
Maritim Malaysia turut menyeru komuniti maritim agar mematuhi undang-undang laut dan menyalurkan maklumat berhubung sebarang aktiviti mencurigakan melalui aplikasi WhatsApp 016-9305727 atau talian kecemasan 999.